Kamis, Desember 04, 2008

Malaysia: Yoga Haram

PUTRAJAYA: Majlis Fatwa Kebangsaan semalam, mengharamkan umat Islam
mengamalkan senaman yoga yang dilakukan secara sistematik dan
menyeluruh kerana bertentangan dengan syariat Islam serta boleh
memesongkan akidah mereka.

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata senaman yoga
berasal daripada masyarakat Hindu menggabungkan tiga unsur, iaitu
amalan fizikal (senaman), keagamaan serta mantera pemujaan bagi
mendapatkan ketenangan, manakala kemuncaknya penyatuan diri dengan
tuhan, yang boleh merosakkan akidah umat Islam.

Oleh itu, katanya, ahli majlis itu memutuskan apa juga jenis dan
bentuk amalan yang mengandungi unsur sedemikian dilarang dan
bertentangan dengan syariat Islam.

"Bagaimanapun, pergerakan amalan fizikal yoga tanpa unsur berkenaan
yang dilakukan pada zahirnya (secara luaran) tidak menjadi kesalahan,
tetapi tidak digalakkan kerana ia adalah salah satu komponen daripada
keseluruhan amalan yang diharamkan itu.

"Oleh itu, masyarakat Islam wajib berhati-hati dan berwaspada
daripada melakukan perkara yang boleh menghakis dan memesongkan
akidah menerusi kepercayaan atau keyakinan hati, menerusi perkataan
atau pengakuan dengan lidah dan perbuatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim), di sini semalam. Hadir sama Ketua Pengarah
Jakim yang juga Setiausaha Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Wan Mohamad
Sheikh Abdul Aziz.

Abdul Shukor berkata, senaman yoga yang diperkenalkan sejak 3,000
tahun sebelum Masihi tidak sesuai bagi umat Islam kerana ada dua
perkara didalamnya yang boleh menghakis akidah umat Islam iaitu
kepercayaan untuk bersatu dengan tuhan dan mantera pemujaan.

"Kita harap umat Islam lebih berhati-hati dan kalau boleh segera
menghentikan kerana dikhuatiri kalau tidak tahu matlamatnya (bersatu
dengan tuhan) boleh menyebabkan kita menjadi sesat.

"Ini kerana ada umat Islam yang mengamalkan senaman yoga tetapi tidak
tahu matlamatnya. Sebenarnya ilmu yoga mengandungi tiga peringkat
iaitu ajaran untuk mendatangkan kesihatan, keduanya membersihkan jiwa
dan kekuatan fizikal dan peringkat ketiga bersatu dengan tuhan,"
katanya.

Baru-baru ini seorang pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Zakaria Stapa menasihati
orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya
kerana bimbang boleh memesongkan akidah.

Amalan yoga didakwa dapat membantu melambatkan proses penuaan,
mengurangkan risiko kencing manis, darah tinggi, lelah dan penyakit
berkaitan jantung. Senaman harian itu kebanyakannya mempunyai
pergerakan berdasarkan unsur dalam agama Hindu, manifestasi gerakan,
konsentrasi dan posisi tubuh dilakukan sambil membaca mentera.

Mengulas lanjut, Abdul Shukor berkata, Singapura dan Mesir turut
mengeluarkan fatwa melarang umat Islam di negara itu mengamalkan
senaman yoga kerana memutuskan perkara itu mengandungi bidaah dan
sesat kerana mengandungi unsur agama Hindu.

Katanya, keputusan melarang umat Islam melakukan senaman yoga dibuat
dalam persidangan Majlis Fatwa Kebangsaan di Kota Bahru, Kelantan
pada 22 hingga 24 Oktober dan ia akan dipanjangkan kepada semua
majlis agama Islam negeri untuk diwartakan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar